Monday, March 15, 2010

Firaun Kecil dan Little Napoleons

oleh Wong Shu Qi

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menyelar "Little Napoleons" dalam DAP dan PKR yang menyebarkan desas-desus bahawa beliau antara wakil rakyat Pakatan Rakyat yang bakal "keluar parti".

"Alamak! What rumour? Rumours created by the little napoleons? (Apa khabar angin? Khabar angin yang direka-cipta little napoleons?)" Demikianlah reaksi pertama dalam sms ketika ditanya oleh MerdekaReview, yang menghubunginya melalui perkhidmatan pesanan ringkas, semalam.

Apabila dijelaskan bahawa desas-desus itu berkisar pada masalah individu beliau, yang bakal menjurus kepada "keluar parti", beliau membalas, "All from the DAP and PKR little napoleons! Faceless little napoleons."

Wee Choo Keong (gambar kiri), 57, pernah menjadi ahli parlimen Bukit Bintang pada tahun 1990, kemudian terjerat ke dalam kes MBF yang berakhir dengan pelucutan kelayakannya sebagai ahli parlimen pada tahun 1995. Kes perbicaraan yang sarat dengan pertikaian ini merupakan punca nama Wee Choo Keong menjelma semula pada tahun 2007, dalam skandal "Lingam tape".

Wee CK dipecat oleh DAP pada tahun 1998, atas tuduhan terlibat dalam konspirasi "Kick Off Kit Siang" (KOKS) ketika itu. Beliau telah menubuhkan Parti Demokratik Malaysia (Malaysian Democratic Party, MDP) pada tahun 2 Mei 1999, namun kecundang di semua kawasan yang dipertandingkan dalam PRU ke-10 dan ke-11. Dalam PRU ke-12, Wee CK bertanding di Wangsa Maju dengan menyarung jersi PKR tanpa MDP dibubarkan.

Punca desas-desus

Wee CK menjadi antara wakil rakyat yang tersenarai dalam kumpulan "risiko tinggi", dikhabarkan bakal "keluar parti" mengikut jejak Zahrain Hashim, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri. Desas-desus ini semakin kencang apabila Wee CK tidak menurunkan tandatangan ketika 12 ahli Dewan Rakyat tanpa jawatan parti mengisytiharkan kesetiaan mereka terhadap PKR pada 3 Mac lalu.

Malah, Wee CK pernah menyifatkan rakan seperjuangannya dalam PKR mahupun PR sebagai "Little Napoleon" dalam blognya, di samping menyeru agar "serangan peribadi" terhadap bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim dihentikan. Baru-baru ini, Wee CK pula menjadikan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai sasaran, apabila mengungkit peristiwa gesaan "Harimau Jelutong" agar Anwar Ibrahim meletak jawatan.

Pada masa yang sama, khabar tersebar bahawa jejak Wee CK gagal dikesan setelah beliau melawat ke Amerika Syarikat dua minggu yang lalu. Beliau menghadiri satu seminar berjudul "Urustadbir dan Keluhuran Undang-Undang di Malaysia", anjuran sebuah badan pemikir terkemuka - Pusat bagi Strategi dan Pengajian Antarabangsa (CSIS) pada 25 Februari. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Abdul Nazri Aziz merupakan satu-satunya wakil kerajaan Malaysia ke seminar tersebut. Kebetulannya, ahli parlimen Bayan Baru Zahrain Hashim turut muncul di seminar itu.

Pusat perkhidmatan berjalan seperti biasa

Walau bagaimanapun, ketika wartawan MerdekaReview menjenguk ke pusat perkhidmatan Wee Choo Keong di Wangsa Maju pada Khamis lalu (11 Mac), didapati segalanya berjalan seperti biasa. Bendara PKR masih berkibar di pusat perkhidmatannya, malah pembantunya Yaacob Hamid masih berada di situ untuk melayan pengundinya.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Yaacob Hamid berkata dirinya tidak mengesan sebarang "kelainan" yang ditunjukkan Wee CK, bahkan tiada masalah kewangan atau individu yang membelenggunya. Malah, Yaacob menyangkal khabar Wee CK "hilang", kerana beliau masih berjumpa dengan Wee CK untuk menguruskan hal kawasan pengundiannya.

Apabila ditanya sama ada pemimpin BN atau proksi BN mengatur sebarang pertemuan dengan Wee CK, Yaacob terus menafikannya, tetapi menambah, "Kalaulah menghubunginya (Wee CK) secara terus, itu saya tidak tahu. Masih ada persahabatan antara wakil rakyat, tidak aneh kalau saling menghubungi."

Sebulan yang lalu, tiga orang ahli parlimen PKR telah mengisytihar untuk keluar parti, ditambah pula dengan Zulkifli Noordin yang dipecat, bilangan ahli dewan rakyat PR telah jatuh ke paras 78. Daripada 7 orang ahli parlimen bebas, SAPP telah mengisytiharkan bahawa ahli parlimennya, Eric Majimbun and Chua Soon Bui akan bersama PR untuk menggulingkan BN.

Dengan kata lain, seandainya kesemua lima ahli parlimen bebas yang lain menyokong BN, maka BN akan berada dalam kedudukan 137+5 (142), berbanding PR 78+2 (80). Ringkasnya, BN masih memerlukan 6 orang ahli dewan rakyat daripada PR untuk mencecah majoriti dua pertiga.

2 comments:

azmie said...

mai tok lebai cerita piraun, mai towkey cerita napoleon. plot sama, skrip ngan pelakon je yg lain

Ali Zaidan said...

PKR kena berubah. Semenjak mereka menang besar PRU 12, ramai yg berkepentingan mula menempel. Yg boleh dipersoalkan kesetiaan dia kpd parti. Bukan saya cerita,ini orang kuat PKR sendiri bagitahu.

Kemudian masa nak bertanding, kuat berebut. Tgk di KL atau Gombak. Bila Pas undur diri dan ikut berkempen utk PKR despite protest from the roots, calon pulak main tangkap muat. Itu yg ada tragedi menumbuk antara seorang MP dan seorang pegawai ADUN PKR di Selangor 2 tahun lepas.

Kalau memilih calon PRU pun main buat kerja lebih kurang, apalah sangat 'Firaun Kecil' atau 'Little Napoleon' boleh wujud keliling Anwar?

Ala, Saiful Bukhari pun boleh duduk dlm pejabat dia!!